25 May 2011

Peluang Kelantan Dan Terengganu Seimbang



Sebagaimana yang kita semua tahu, Kelantan dan Terengganu akan berentap di final Piala FA 2011 pada 11 Jun 2011. Jika dilihat dari segi keupayaan untuk muncul sebagai juara, peluang bagi kedua-dua pasukan adalah seimbang dan sukar diramal siapa yang bakal digelar juara piala FA 2011. Mengikut pada mutu persembahan, masing-masing menampilkan persembahan yang sangat bertenaga dan penuh dengan semangat. Pada musim ini, Terengganu merupakan pesaing yang sangat hebat untuk The Red Worrior jika dibandingkan dengan Selangor. Pada musim ini sebanyak 4 kali Kelantan telah berentap dengan Selangor dan ternyata nasib sentiasa menyebelahi pasukan Kelantan di mana Kelantan telah menang sebanyak 3 kali dan 1 seri. Apa yang lebih manis lagi, Kelantan berjaya menewaskan Selangor di Shah Alam dengan jaringan yang besar iaitu 5-1 seterusnya melayakkan Kelantan ke final dengan agregat 6-2 setelah mereka seri 1-1 di Kota Bharu. Dalam Liga Super pula Kelantan berada di puncak dengan 44 mata. Manakala Terengganu di tempat kedua dengan 44 mata juga. Mereka berbeza dari segi jumlah jaringan sahaja. Untuk baki 5 lagi perlawanan liga, masing-masing ingin menang ke semua perlawanan dan di sini ternyata kelebihan kepada pasukan Terengganu yang akan beraksi semua di gelanggang sendiri. Selain kedua-dua pasukan perlu menang setiap perlawanan, jaringan yang banyak juga akan menjadi faktor siapa yang layak bergelar juara liga super musim ini. Penjaring terbanyak setakat ini di pegang oleh penyerang sensasi Kelantan Norshahrul Idlan Talaha diikuti rapat oleh penyerang Terengganu yang naik secara mendadak iaitu Abdul Hadi Yahya. Disini jelas kepada kita bahawa Kelantan dan Terengganu sama kuat dan sama hebat. Pada perlawanan liga super peringkat pertama di Kota Bharu pada musim ini, mereka terikat 1-1 dan mereka akan berentap lagi pada pusingan kedua tidak lama lagi selain akan berentap menentukan juara piala fa 2011 di Bukit Jalil pada 11 Jun 2011. Kita berharap pada final piala fa nanti, Kelantan dan Terengganu akan mempamerkan aksi yang sangat menghiburkan dengan corak permainan pantas dan penuh semangat kesukanan. Kita sebagai negeri pantai timur yang berjiran di samping berkongsi semangat, makanan dan budaya yang sama perlulah menunjukkan sikap profesional dan jangan sekali-kali bergaduh. Orang Kelantan ada dalam pasukan Terengganu. Orang Terengganu pula ada dalam team Kelantan. Kita semua bersaudara. Sama-sama kita naikkan nama pantai timur untuk menjadi kuasa besar dalam kancah bola sepak tempatan.Sebagai anak jati Kelantan, saya menyokong penuh pasukan The Red Worrior...Terima kasih kepada Tan Sri Anuar Musa, B. Sathianathan, Datuk M. Karathu dan semua pihak pengurusan yang menaikkan imej pasukan bola sepak Kelantan yang bijak mengurus dan memimpin. Kepada penyokong Kelantan, terima kasih juga di atas sokongan anda yang sentiasa memberi sokongan dan memenuhkan stadium. Tanpa anda semua, Kelantan tidak akan berada di tahap ini sekarang.Gomo Kelate Gomo....

1 comment: